Hampir setiap hari di dada akhbar kita disaji dengan kes penceraian artis-artis tanah air kita. Tapi hari ini aku bukan nak cerita pasal artis kita. Aku nak cerita pasal masyarakat kita. Macam menjadi kebiasaan pasangan yang baru berkahwin bercerai-berai selepas 2 tahun berumah tangga. Tapi itu pun bukan tajuk aku kali ini.
Aku sebenarnya nak cerita mengenai pasangan yang lama berumah tangga bercerai akibat kengganan pihak isteri untuk meneruskan kehidupan secara berpoligami. Memang poligami menjadi kepantangan ramai wanita. Tapi melarikan diri, memberontak atau menuntut untuk bercerai bukan pilihan yang patut diambil oleh wanita. Aku bercakap begini bukan kerana aku lelaki tapi kerana aku prihatin.
Isteri juga hendaklah menerima hakikat bahawa mengizinkan suami berpoligami tidaklah bermakna bahawa mereka hilang segala-galanya dan berakhirlah kehidupan mereka. Sebaliknya jika penceraian berlaku anak-anak akan mendapat kurang perhatian dan kasih sayang dari seorang bapa dan pembahagian harta menjadi kelam kabut.
Adalah baik untuk difikirkan jika isteri pertama dapat menggunakan kebijaksanaannya dengan meletakkan syarat dimaktubkan dalam satu perjanjian yang menyatakan haknya sebagai isteri pertama kepada harta, pembahagian masa dan nafkah isteri dan anak jika poligami itu diteruskan suami.
Dengan adanya perjanjian seumpama ini, isteri pertama akan dapat memastikan bahawa hak-haknya sebagai isteri pertama akan terbela pada setiap masa.Malah, tindakan mahkamah boleh diambil jika suami mengabaikan tanggungjawabnya.
Ramai isteri mengetahui bahawa bahagian faraid mereka adalah 1/8 jika mereka mempunyai anak dan 1/4 jika mereka tidak ada anak tetapi ramai di kalangan wanita yang terlepas pandang bahawa jika suami mereka berpoligami contohnya mempunyai dua isteri maka bahagian 1/8 isteri berkenaan akan dibahagi dua menjadi 1/16 bersama isteri yang baru atau dibahagi tiga jika suami berkahwin tiga.
Bagi memastikan sumbangan isteri pertama yang bersama-sama bersusah payah dengan suami bagi tempoh yang lama dapat dilindungi daripada dituntut oleh isteri muda atau anak tiri, adalah perlu bagi suami menyatakan dengan jelas hak isteri pertama melalui Ikrar Harta Sepencarian atau Suratcara Hibah.
Tanpa menggalakkan amalan poligami yang menjadi kepantangan sesetengah wanita, kita perlu menerima hakikat bahawa sudah tiba masa masyarakat Melayu kita menilai semula persepsi kita berkaitan poligami. Budaya dan tanggapan masyarakat Melayu di Malaysia begitu memandang serong kepada suami yang ingin berpoligami hinggakan terkadang kita seolah-seolah menghantar isyarat yang salah kepada kaum lelaki bahawa mempunyai hubungan sulit secara tidak sah adalah lebih baik daripada berpoligami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan